);

20 peratus royalti minyak boleh ‘bunuh’ Petronas – Tun M

KOTA KINABALU: Perlu ada kajian menyeluruh sebelum keputusan membayar 20 peratus royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak dapat dilaksanakan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan perlu berhati-hati dalam hal itu kerana jika dilaksanakan, ada kemungkinan operasi Petronas akan lumpuh.

“Petronas merupakan syarikat yang unik dalam dunia ini kerana ia satu-satunya syarikat minyak nasional yang melibatkan diri dalam pembangunan penerokaan bidang petrokimia, dan ramai orang luar inginkan Petronas beroperasi di negara mereka.
“Sekiranya anda hanya menggunakan Petronas semata-mata untuk mengutip royalti, kita akan kehilangan banyak perkara. Kita perlu mengekalkan kekuatan Petronas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sarapan pagi bersama Jemaah Menteri Sabah, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata sekiranya perkara itu dilaksanakan, kerajaan terpaksa mengambil 40 peratus daripada kos operasi Petronas dan ia sudah pasti akan ‘membunuh’ syarikat itu.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir memberitahu kerajaan perlu melihat kembali royalti lima peratus kepada Sabah dan Sarawak, kerana ia juga dirasakan sangat besar.

Beliau berkata, tanggungjawab sebagai Kerajaan Persekutuan adalah memastikan kesemua negeri dan wilayah mendapat layanan yang adil dan sama rata.

“Kerajaan Persekutuan juga memberi pinjaman kepada kesemua negeri, dan ada di antara negeri yang tidak membayar balik. Pinjaman tidak berbayar (non-performing loans) boleh mengakibatkan negara kita bankrap.

“Tetapi ada juga negeri yang mempunyai wang berlebihan, dan sanggup memberi pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan. Jadi saya saya rasa kita perlu belajar hidup bersama dan bersikap adil antara satu sama lain,” katanya lagi.

 

Add Comment