);

Tok Pa keluar UMNO

Oleh Nadia Hamid dan Manirajan Ramasamy

PARLIMEN Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar UMNO. – Foto Syamsi Suhaimi

 

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu.

Mustapa berkata keputusannya itu susulan hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.

“Pada pandangan saya, hala tuju yang diambil UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangan saya selama ini.

“Tidak ada banyak usaha yang meyakinkan bahawa proses rejuvenasi parti sudah bermula.

“Selepas bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dengan keputusan itu, Mustapa secara automatik menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan berpandangan usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.

“Tidak ada tanda bahawa majoriti rakyat berbilang bangsa dan agama akan kembali meyakini perjuangan parti ini,” katanya.

Mustapa berkata UMNO selaku peneraju Barisan Nasional tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan Bumiputera semata-mata untuk terus relevan.

Katanya, UMNO harus menjadi sebuah parti yang inklusif, sederhana dan berhaluan tengah.

“UMNO mesti terus memperjuangkan kepentingan Bumiputera dan Islam, namun tanpa sesekali mengetepikan kepentingan kaum dan agama lain.

“Saya percaya bahawa inilah jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk,” katanya.

Mustapa turut berpandangan sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat.

Biodata Mustapha:

– Dilahirkan di Bachok, Kelantan pada 25 September 1950.

– Pendidikan awal di Sekolah Inggeris Bachok pada 1957 dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mohammad Jiwa pada 1963.

– Menamatkan pengajian di Maktab Sultan Ismail, Jalan Telipot, Kota Bharu pada 1969 sebelum menyambung pengajian dalam bidang Ekonomi di University of Melbourne, Australia pada 1973.

– Memperoleh Ijazah Sarjana Pembangunan Ekonomi pada 1982 dari Boston University, Amerika Syarikat.

– Pembabitan dalam UMNO bermula pada 1988 ketika menyandang jawatan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.

– Bekas Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

– Pernah menyandang portfolio Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Kewangan II serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.

– Dipilih sebagai wakil rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen Jeli menerusi Pilihan Raya Kesembilan, iaitu pada 1995.

– Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan pada Mei 1995, sebelum menyandang jawatan Menteri Kewangan II pada September 1998.

– Selain menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO pada 2000 sebelum diberikan tugas sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta Pengerusi Barisan Nasional Kelantan dari 2000 hingga 2004.

 

Add Comment